PEMUDA PERKASA...SEDIA GEMPUR...DULU...KINI...DAN SELAMANYA....

Monday, December 29, 2008

SALAM MA'AL HIJRAH 1430H DAN SELAMAT TAHUN BARU 2009 M



Alhamdulillah akhirnya kita dipanjangkan umur oleh Allah swt untuk sama-sama menyambut tahun baru Islam 1430 H. Kita bersyukur kepada Allah swt atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita. Beberapa detik sebelum masuk waktu Maghrib, 30 Zulhijjah 1429 H , kita disunatkan untuk membaca Doa Akhir Tahun , antaranya memohon keampunan daripada Allah swtr atas sega ketelanjuran dosa yang telah dilakukan namun masih diberi kekuatan untuk meneruskan hidup didunia ini. Selepas Solat Maghrib, 1 Muharram 1430 H, kita pula di sunatkan untuk membaca Doa Awal Tahun bagi menzahirkan betapa kerdilnya kita dihadapan Allah swt untuk terus diberi kekuatan untuk mengharungi hidup ini. Kita juga berdoa semoga dijauhkan segala bahaya bencana dan malapetaka yang boleh menimpa kita dan umat Islam sepanjang setahun yang akan datang.



Saya menghadiri program Majlis Kesyukuran dan Sambutan Tahun Baru Hijrah 1429/1430 H di Masjid Sultan Ahmad 1 (Masjid Negeri) bersama-sama dengan YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Hj Adnan Bin Hj Yaakob dan rakyat jelata . Ramai yang hadir, penuh saf-saf dalam masjid, lelaki dan perempuan . Nampaknya masyarakat dan penduduk negeri Pahang amat prihatin, syukur kepada Allah swt. Majlis yang sama telah dilaksanakan diseluruh masjid dan surau dalam Negeri Pahang. Para jemaah juga menunaikan Solat Hajat sebagaimana yang dititahkan oleh KDYMM Tuanku Sultan Pahang yang juga sebagai payung Agama Islam Negeri, memohon kehadrat Ilahi supaya Negeri Pahang dijauhkan daripada bala bencana dan malapetakan dan semoga seluruh rakyat berada didalam keadaan sejahtera hendaknya. Begitu prihatin KDYMM Tuanku Sultan Pahang. Semoga Allah swt terus merahmati hari-hari pemerintahan KDYMM Tuanku Sultan Pahang.



Umat Islam sekali lagi diminta untuk merenung nasib dan halatuju mereka masa hadapan sempena denga kehadiran bulan Muharram 1430 H kali ini. Jika diamati nasib umat Islam di peringkat global, menuntut untuk seluruh umat Islam memikirkan nasib saudara mara mereka yang berada nun jauh di seluruh dunia. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh mereka. Ditindas dan dibunuh malah banyak yang hidup dalam kesusahan dan serba kedhaifan. Agama Islam semakin menghadapi dugaan yang kuat. Hanya umat Islam sahaja yang dapat memastikan supaya Agama Islam ini terus gemilang .



Tema Ma'al Hijrah tahun ini, "Menjana Ummah Gemilang" seharusnya lebih menyedarkan umat Islam di Malaysia untuk sama-sama berjuang menjadikan Agama Islam sebagai agama yang menggalakkan umatnya untuk terus cemerlang pada setiap masa. Cemerlang yang dituntut ialah dalam segenap lapangan hidup dan bidang. Inilah sebahagian besar intipati di sebalik Hijrah yang pernah berlaku 1430 tahun yang lalu. Umat Islam perlu mengeluarkan diri mereka daripad kedhaifan hidup dan melawan serangan dan dugaan untuk terus menjadi umat yang gemilang dan dihormati oleh kawan dan lawan. Alhamdulillah Rasulullah saw telah meninggalkan kepada kita banyak petunjuk untuk terus kita perjuangkan pada masa ini dan akan datang. Semoga Sirah Rasulullah saw dan para sahabat Baginda- ra- akan terus menjadi panduan kepada kita semua . Inilah yang perlu kita hadhamkan dalam pemikiran kita sebaik-baiknya. Mengkaji dimana kelemahan kita semua dan terus memperbaiki dan berhijrah untuk terus mencapai kegemilangan. Dimana berlaku kesilapan haruslah diperbetulkan malah perlu dicari nilai tambah untuk memastikan Agama Islam terus berada dipuncak yang cukup tinggi dan mulia.



Sehubungan dengan itu, Umat Islam perlu menggalas cabaran ini untuk kesinambungan kecemerlangan lalu. Kita harus bekerja kuat untuk mencapai cita-cita tersebut.
Semoga tahun-tahun yang mendatang akan menjanjikan cahaya kegemilangan untuk kita semua meneruskan perjuangan hidup dan Da'wah Islamiah kita .



Dikesempatan ini saya juga ingin menyampaikan Sembah Takziah kepada seluruh kerabat Diraja Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar, dan rakyat negeri sembilan seluruhnya diatas kemangkatan Baginda pada hari sabtu 27 hb Disember 2008 bersamaan 29 Zulhijjah 1429 H. Sudah tentu sejarah dan kenangan manis dan segala kebaikan Almarhum akan terus terpahat dalam kenangan. Saya mewakili seluruh Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin mendoakan semoga roh Almarhum diberkati oleh Allah swt dan ditempatkan bersama para solihin, Amin...Al- Fatihah..



Selamat Menyambut Tahun Baru 1430 H dan Tahun Baru 2009 M dengan penuh keinsafan dan Iltizam baru.


Daripada :


YB Dato' Hj Mohamad Sahfri Bin Ab Aziz,


Ketua Pemuda.

Thursday, December 11, 2008

AL-FATIHAH

Malam tadi UMNO Pahang dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Datuk Abdullah Rahmat, Setiausaha Kerja Eksekutif UMNO Pahang. Beliau dan pemandunya terlibat didalam kemalangan jalanraya di Lanchang. Berita ini sungguh menyedihkan. Bagi pihak saya secara peribadi amat berasa sedih dengan pemergian beliau. Bagi saya beliau merupakan seorang Abang yang sangat dikasihi. Banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan mendidik saya mengerti erti politik , malah banyak membantu saya terutama ketika saya mula-mula terpilih sebagai wakil rakyat pada tahun 2004.

Allahyarham Datuk Hj Abdullah Rahmat memang terkenal sebagai seorang yang sangat penyayang dan kuat bekerja. Hampir seluruh masa dan hidupnya dikorbankan untuk UMNO Pahang. Seorang yang begitu mengambil berat tentang perjalanan pentadbiran UMNO Negeri Pahang. Begitu sedih jika diimbas kembali , pemergian isterinya ke rahmatullah yang tidak lama dahulu.

UMNO Pahang , pasti terasa kehilangannya. Telatah gurau sendanya dan jenakanya pasti akan dikenang sampai bila-bila. Saya secara pribadi , begitu hiba mengenangkan peristiwa ini. Sudah pasti sifat tawadu' nya menjadikan Allahyarham seorang yang begitu mudah didekati.

Bagi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar. Tidak dapat dilupakan saat-saat manis bersamanya dalam siri-siri perjuangan UMNO khususnya bagi kami pemuda ketika bersama dengannya dalam menghadapi situasi Pilihanraya Kecil dalam negara. Sudah tentu pemergian Allahyarham akan ditangisi dan meruntun jiwa kami semua. Disaat sebegini , himpunan doa dipanjatkan kehadrat Ilahi, semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin dan rakan-rakan keseluruhannya diperingkat akar umbi, merakamkan ucapan Takziah kepada keluarga Allahyarham diatas pemergian bapa yang dikasihi ini. Ucapan yang sama dilanjutkan kepada adik-beradik Allahyarham .

Sama-samalah kita mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama para solihin dan mendoakan segala jasa baiknya kepada parti dan negeri serta negara dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda oleh Allah swt..

Al-Fatihah...

Ikhlas :

Yb Dato' Hj Mohamad Sahfri Bin Ab. Aziz,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin Pahang.

Thursday, December 4, 2008

FITNAH PEMBANGKANG!!

  1. Kita merasa cukup hairan dengan sikap mausia yang suka dan selalu membuat fitnah dan mereka-reka cerita supaya ianya sedap didengar. Manusia yang sebegini memang selalu mencari keburukan orang lain dan mendedahkan aib bangsa kepada orang ramai, akhirnya, dia tersenyum girang , bahawa kerja syaitannya berjaya dan manusia bergaduh sesama sendiri. Yang lagi pelik, dia pula mengajak orang ramai bersama dengan dia untuk sama-sama buat kerja kotor tu.
  2. Pihak PKR , telah menjadikan fitnah sebagai teras perjuangan da'wahnya untuk menarik minat orang ramai supaya bersimpati dengan perjuangannya. Mereka berusaha menunjukkan kepada orang ramai, kononnya merekalah pejuang dan pembela nasib rakyat. Pahangdailyblogspot,blog rasmi PKR Pahang, menjadi medan utama mereka di pahang ini untuk memburukkan Kerajaan BN. Pelbagai cerita fitnah wujud dalam blog tersebut. Malah ada cerita yang sengaja dibuat-buat supaya orang ramai percaya akan isu yang dibangkitkan. Inilah teras perjuangan mereka, serupa dengan Penasihat Merapu PKR, DSAI. " Matlamat Boleh Menghalalkan Cara " menjadi asas perjuangan politik mereka. Malah itulah rukun perjuangan mereka. Nilai-nilai agama ditolak ketepi, yang penting rakyat ditipu, mereka mendapat sokongan ramai.
  3. DSAI mempunyai perangai dan kepercayaan "setiap pembohongan yang disebut berulang kali akan menjadi kebenaran" . Ini menjadi ikutan kepada budak-budak PKR sekarang. Fitnah begitu berleluasa dalam blog mereka. Sikap inilah yang memburukkan keadaaan politik dalam negara. Yang pelik tu, mereka menyerang sesama bangsa. Mereka tidak sedar, bahawa bangsa lain menepuk tangan melihat apa yang berlaku. Mereka , PKR, telah diperalatkan. Namun masih mengaku menjadi pejuang bangsa! Sebenarnya merekalah yang meruntuhkan Bangsa Melayu itu sendiri.
  4. Baru-baru ini , mengaku dalam kongres mereka, bahawa mereka akan memperjuangkan hak-hak dan kedaulatan Raja-raja melayu. Budak-budak PKR lupa, sebenarnya DSAI lah yang dahulunya begitu lantang memalukan Raja-raja melayu. Berucap di majlis-majlis, mengutuk kedaulatan dan kehebatan Raja Melayu. Semua orang masih ingat. Mengutuk dan menghina kerabat-kerabat diraja, sehinggakan kita sendiri orang melayu berasa malu dengan perkembangan tersebut. Kita tidak lupa apa jawatannya pada ketika itu dalam kerajan. Malah DSAI mengugut akan mendedahkan keburukan istana di media-media.
  5. Kita juga masih ingat siapa yang begitu lantang memperkatakan tentang Kronisme dan Nepotisme pada suatu masa dahulu ketika DSAI dalam kerajaan BN. Sekarang ini kita lihat sahaja pada parti PKR dan Pakatan Rakyat. Tidakkah wujud elemen Kronisme dan Nepotisme pada parti mereka? Malah lebih dahsyat lagi, YB Anwar Ibrahim dengan Azizah dan YB Nurul Izzah, YB Karpal Singh dengan YB Gobind Sing Deo dan banyak lagi jika dilihat kepada jawatan diperingkat parti dan Dewan Undangan Negeri pembangkang. Sekarang mereka bercakap untuk memperjuangkan bangsa ? Sudah tentu inilah pembohongan besar mereka , memperjuangkan untuk kesenangan dan kemegahan diri sendiri. Kita kenal siapa mereka, bak kata orang tua-tua dahulu ' sekilas ikan di air, dah tahu jantan betinanya'...
  6. Parti UMNO tetap mengekalkan Asas perjuangannya. UMNO sebagai sebuah parti orang melayu, sering melaungkan dan menegaskan bahawa akan terus menjadi teras perjuangan Bangsa Melayu. Kita percaya dan yakin, semenjak dahulu lagi, UMNO telah melahirkan ramai pemimpin yang berwibawa. Lihat sahaja kepada sejarah negara kita, bermula daripada semenjak kita merdeka. Kalau kita lihat sekarang pun, yang jadi pembangkang zaman sekarang pun, mereka dahulu pernah berada di dalam UMNO. Mengecap pelbagai kesenangan sebagai pemimpin pada ketika itu. Tapi mereka khianat perjuangan parti, maka mereka terkeluar dari arus perjuangan sebenar. Yang menjadi duri dalam daging ini, mereka sendiri, merekalah yang membuatkan rakyat mula mencemuh Bangsa Melayu. Mereka inilah yang menjaja cerita fitnah diseluruh pelusuk negara hanya demi untuk kesenangan politik peribadi mereka. Eloklah terus berada diluar UMNO , 'pergi tidak mengurang, datang pun tidak bertambah.'
  7. UMNO yakin kepada perjuangan. Biar susah dan tidak diingat orang, yang penting kita perlu jujur dan amanah dalam meneruskan langkah membela nasib bangsa. Masih ramai lagi yang perlu dibantu. Kita perlu berubah, tetapi perubahan yang menjanjikan kesejahteraan untuk generasi bangsa kita akan datang.

KENAPA MELENTING!!

  1. Nampaknya ramai yang melenting akibat daripada keyataan Dato' Mukhriz tentang sistem satu sekolah. Ramai pemimpin dan tokoh politik daripada dalam komponen BN dan pihak Pembangkang membuat komen yang pedas dan begitu marah nampaknya. Ramai yang menuduh Dato' Mukhriz seakan telah lupa sejarah dan cuba untuk membangkitkan ketegangan sesama kaum dan menidakkan peranan bangsa lain di Malaysia. Malah bagi pemimpin DAP, mereka mahu supaya tindakan mahkamah dikenakan keatas Dato' Mukhriz ekoran kenyataannya yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, kerana perkara ini , asasnya,telah pun dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
  2. Kita hairan kenapa semasa semua pemimpin bukan Bangsa Melayu bercakap pasal hak-hak orang Melayu, Agama Islam dan yang terakhir ini, tentang Ketuanan Melayu , tidak pula timbul isu yang dibangkitkan itu semua menyalahi Perlembagaan Persekutuan? Inilah sikap double-standard yang diamalkan oleh pihak mereka. Kita tahu pihak pembangkang memang tidak puas hati, malah mereka menuduh kita tidak menjaga hati kaum mereka. Adakah selama ini, mereka pernah menjaga hati majoriti penduduk Tanah Melayu, sensitiviti Agama Islam malah hak dan kedaulatan Raja & Sultan Melayu? sebenarnya merekalah yang mula mencabarnya.
  3. Sebenarnya kenyataan oleh Dato' Mukhriz itu merupakan pandangan untuk sama-sama melihat kepada keberkesanannya. Nampaknya mereka yang membangkang telah menjadikannya isu perkauman yang serius. Kita mahu melihat pembangunan Bangsa Malaysia yang akan datang, bukan lagi Bangsa yang bermegah dengan adat nenek moyangnya yang beribu tahun dulu tu, tapi hidup melarat dan bangsat di negara ini. Kita juga tidak berniat untuk mengubah Melayu menjadi Cina, atau Cina menjadi India ataupun sebaliknya. Malah kita mahu menjadikan Malaysia menjadi tempat yang rakyatnya dapat hidup dengan rukun dan damai , walaupun berbeza warna kulit dan berbilang bangsa.
  4. Kita tidak dapat lari daripada menjadi pejuang kepada kaum masing-masing. Soalnya, apakah kesudahan yang menguntungkan kepada bangsa kita? Sepatutnya mereka menjadikan isu ini sebagai medan untuk sama-sama bekerja untuk kejayaan dan kemakmuran negara. Sistem pendidikan perlu dirombak untuk kejayaan negara kita untuk puluhan dan ratusan tahun yang akan datang.
  5. Rombakan sistem perlu kepada jiwa yang terbuka , semangat yang kental . keazaman politik yang berterusan untuk menilai yang terbaik untuk anak bangsa kita. Kita tidak menyokong dasar diskriminasi pendidikan untuk anak-anak kita, baik kepada bangsa Melayu mahupun bangsa-bangsa yang lain. Janganlah Fikir Perkauman mengatasi pemikiran untuk mendatangkan kebaikan kepada anak bangsa kita. Bangsa Melayu boleh menerima kaum lain untuk terus hidup bersama dahulu, malah akan terus dapat menerima mereka untuk tempoh tahun yang akan datang, syaratnya kita perlu bersama-sama menjaga hati sesama kita. Hak-hak asas dalam bangsa kita perlu dipertahankan dan sama-sama mempertahankannya.

Tuesday, December 2, 2008

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum & Salam Sejahtera rakan-rakan semua,
Blog ini akan menjadi sebahagian daripada lidah rasmi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin. Segala maklumat dan tulisan yang berkaitan dengan PPU Rompin akan dipaparkan dalam blog ini. Saudara/ri boleh menghantar sebarang komen atas segala yang diutarakan disini. Harapan saya , semoga segala pandangan yang bernas akan dapat sama-sama membantu meningkatkan kualiti usaha kita untuk memartabatkan perjuangan UMNO mempertahankan Agama Islam, Bangsa dan tanah air tercinta ini.
Salam dari saya untuk semua.
Ikhlas ;
YB Dato' Hj Mohamad Sahfri Bin Ab Aziz, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Rompin.